Sunday 13 May 2012

Hadis-Hadis Mengenai Solat - Dipetik Dari Pelbagai Sumber

Terdapat banyak hadis yang menyebut mengenai kebaikan menunaikan solat atau sembahyang lima waktu dan solat berjemaah. Berikut adalah beberapa hadis berkenaan solat atau sembahyang yang dipetik daripada beberapa sumber.


DOSA ORANG YANG MENUNAIKAN SOLAT DIHAPUSKAN SEPERTI DAUN YANG GUGUR DARI POHONNYA

Abu Zar RA meriwayatkan bahawa suatu hari, pada musim dedaun sedang berguguran, Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya. Baginda SAW mengambil ranting dari sebatang pohon yang daun-daunnya sudah mulai gugur dengan lebatnya seraya bersabda : “Ya Abu Zar! Apabila seorang Islam menunaikan solatnya kerana Allah, dosanya gugur seperti daun-daun yang gugur dari pohonnya ini”. (Riwayat Ahmad dengan sanad yang hasan).


10 PERINTAH RASULULLAH KEPADA MUAZ BIN JABAL
Muaz bin Jabal r.a. meriwayatkan, “Rasulullah SAW memerintah atasku sepuluh perkara iaitu:

  1. Jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu walaupun aku akan dibunuh atau dibakar hidup-hidup.
  2. Jangan membantah ibubapaku walaupun aku terpaksa berpisah dengan isteriku atau kekayaanku.
  3. Jangan melengah-lengahkan solat fardu dengan sengaja kerana Allah bebas daripada kewajipan terhadap seseorang yang melengahkan solat fardu dengan sengaja.
  4. Jangan minum minuman keras (minuman yang memabukkan) kerana itulah punca segala maksiat dan keburukan.
  5. Jangan mengingkari Allah kerana itulah yang menyebabkan Dia murka.
  6. Jangan lari dari medan pertempuran walaupun teman-temanku semuanya telah gugur.
  7. Jangan lari dari tempat di mana wabak sedang merebak.
  8. Berbelanjalah atas kaum keluarga.
  9. Rotanilah anak-anak agar mereka menjadi baik.
  10. Berilah amaran kepada mereka (anak-anak) mengenai kecuaian kewajiban-kewajiban mereka terhadap Allah.
(Riwayat Ahmad dan Tabarani)


5 ANUGERAH KEPADA ORANG YANG MENJAGA SOLATNYA
Adalah disebutkan di dalam hadis bahawa Allah SWT menganugerahkan lima kurnia ke atas orang yang menjaga solatnya, iaitu:

  1. Dipermudahkan rezeki.
  2. Diselamatkan daripada azab kubur.
  3. Menerima buku amalan dengan tangan kanannya pada hari kiamat.
  4. Dapat melintas titian sirat pantas seperti kilat.
  5. Masuk syurga tanpa hisab.

5 AZAB BAGI ORANG YANG MELENGAH-LENGAHKAN SOLAT
Bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat, dia akan menerima lima jenis azab di dunia iaitu tiga semasa mati, tiga di dalam kubur dan tiga lagi selepas kebangkitan.

Azab di dunia ini adalah :

  1. Tidak dirahmati dalam kehidupan.
  2. Kehilangan nur pada wajahnya (muka orang-orang yang soleh penuh dengan nur).
  3. Tidak menerima pahala bagi amalan-amalannya yang baik.
  4. Doa-doa tidak di makbulkan.
  5. Tidak mendapat bahagian dalam doa-doa orang yang soleh.

Azab semasa dia hendak mati pula adalah :

  1. Mati dalam keadaan aib.
  2. Mati kelaparan.
  3. Mati dalam keadaan dahaga hinggakan air dalam laut di dunia ini tak dapat menghilangkan hausnya.

Azab di dalam kubur bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat :

  1. Dihimpit oleh kuburnya sendiri se hingga tulang-tulang rusuknya saling berselisihan
  2. Api menyala di dalam kuburnya dan dia diguling-gulingkan di atas baranya pada siang dan malam.
  3. Ular yang bisa dengan mata berapi dan berkuku besi yang panjang sama dengan perjalanan sebulan dilepaskan ke atasnya. Ular itu akan bertempik seumpama bunyi guruh suaranya,“ Tuhanku telah memerintahkan aku supaya memukul kamu sehingga terbit matahari kerana kamu melengah-lengahkan solat subuh hingga zohor, kerana melengah-lengahkan solat zohor hingga matahari masuk ke lubangnya, kerana melengah-lengahkan solat asar hingga maghrib, kerana melengah-lengahkan solat maghrib hingga isyak, kerana melengah-lengahkan solat isyak hingga fajar. Ular itu terus memukulnya sehingga ke hari kiamat. Setiap pukulan membenamkannya sehingga tujuh puluh hasta ke dalam bumi.

Azab selepas kebangkitan bagi orang yang meninggalkan solat pula ialah :

  1. Hisabnya keras sekali (disulitkan).
  2. Allah s.w.t. murka padanya.
  3. Dicampakkan ke dalam api neraka.

Menurut satu hadis , bagi orang yang meninggalkan solat, akan tertulis tiga baris ayat yang berikut pada dahinya :

  1. Wahai kamu yang melengah-lengahkan kewajiban Allah.
  2. Wahai kamu yang patut menerima kemurkaan Allah.
  3. Kini sesallah kerana kemu melengah-lengahkan kewajiban kamu terhadap Allah.

SABDA RASULULLAH SAW MENGENAI ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, ”Seseorang yang melengah-lengahkan solatnya (walaupun dia menqqadanya kelak) akan diazab dalam neraka selama satu huqub.”

Satu huqub adalah sama dengan lapan puluh tahun yang terdiri daripada 360 hari setahun dan satu hari di akhirat adalah sama dengan seribu tahun di dunia ini.


HADIS NABI MUHAMMAD SAW MENGENAI KEBAIKAN SOLAT BERJEMAAH
Abdullah bin Umar RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda, "Solat berjemaah adalah 27 kali ganda darjatnya daripada solat bersendirian."


BERITA GEMBIRA BAGI MEREKA YANG SELALU PERGI KE MASJID UNTUK BERSEMBAHYANG
Sahal bin Saad RA menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : ‘Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu pergi ke masjid pada waktu malam yang gelita kerana mereka akan mendapat cahaya yang sempurna pada hari kiamat kelak”.


KAYU API
Abu Hurairah RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, ”Aku ingin supaya dapat kusuruh pemuda-pemuda mengumpul kayu api banyak-banyak untukku dan kemudian akan kupergi dari rumah ke rumah orang yang solat di rumah masing-masing (tidak solat di masjid) tanpa sebarang uzur dan membakarnya.”


KEBAIKAN MENUNAIKAN SOLAT BERJEMAAH SELAMA 40 HARI TANPA KETINGGALAN TAKBIR
Anas bin Malik RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Seseorang yang selalu solat dengan berjemaah selama 40 hari tanpa ketinggalan takbir pertama akan mendapat 2 jaminan; satu, keselamatan daripada neraka dan kedua, bebas daripada nifaq (munafik).


(Keseluruhan artikel dicopas) Rujukan: http://dukeamienerev.blogspot.com/2009/01/hadis-hadis-mengenai-solat-daripada.html

Wednesday 18 April 2012

Private conversation

بسم الله الرحمن الرحيم

Surat An-Nisā' (The Women) - سورة النساء

4:114









Sahih International
No good is there in much of their private conversation, except for those who enjoin charity or that which is right or conciliation between people. And whoever does that seeking means to the approval of Allah - then We are going to give him a great reward.

http://quran.com/4/114

Sunday 25 March 2012

11 Tanda Orang Berbahagia

  1. Tidak rakus dengan dunia
  2. Sibuk beribadat
  3. Kurang bercakap melainkan yang perlu sahaja
  4. Memelihara solat 5 waktu
  5. Bersahabat dengan orang soleh
  6. Tawwaduk (Merendah diri)
  7. Menjauhi daripada yang haram
  8. Pemurah dan baik hati
  9. Kasih sayang sesama makhluk
  10. Berguna kepada masyarakat
  11. Selalu ingat mati
 Rujukan: http://www.facebook.com/photo.php?fbid=338785139496730&set=a.296984963676748.64410.293190480722863&type=1&ref=nf

Wednesday 29 February 2012

Senyuman Rasulullah SAW

Sayidina Umar pernah berkata, "Rasulullah SAW tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya." (Riwayat Ibnu Hibban).

Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah, Abdullah bin Al-Harist mengatakan, "Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW." (Riwayat At-Tirmidzi).

Rujukan: Zidni Nuran (2011) Terapi Diri Dengan Senyuman, I LUV REMAJA; I LUV ISLAM 8 - 14 Julai 2011

Saturday 11 February 2012

Test

بسم الله الرحمن الرحيم

Surat Al-Mulk (The Sovereignty) - سورة الملك

67:2

Sahih International
[He] who created death and life to test you [as to] which of you is best in deed - and He is the Exalted in Might, the Forgiving -
 

Sunday 8 January 2012

Ubat orang yang kikir

Ketahuilah bahwasanya kekikiran itu adalah bersebab dari terlampau sangat mencintai harta kekayaan, dan dalam hal mencintai harta itu ada dua sebab pula:
  1. Terlalu mengikutkan hati kepada keinginan, yang mana segala kemahuan syahwat itu tidak akan tercapai, melaikan menerusi wang yang disertai pula dengan harapan yang panjang.
  2. Adanya kecintaan kepada matawang itu sendiri, dan perasaan hatinya akan merasa lapang jika melihat wang ringgit di hadapan matanya, meskipun ia mengetahui bahwa matawang yang dikumpulkannya itu ada sisa dan kelebihan dari keperluan sepanjang hayatnya.
Sebelum ini, kita telah tunjukkan cara mengubati sesuatu penyakit itu dengan lawannya. Misalnya mengubati penyakit cinta kepada hawanafsu, ialah dengan berqana'ah, yakni menerima seadanya dari pembahagian rezeki, walaupun sedikit dan dengan banyak sabar.

Cara mengubati penjangnya harapan untuk terus hidup di dunia ini, ialah dengan selalu mengingatkan mati, dan menginsafi diri dengan kematian sahabat-handai, serta mengingatkan pula betapa sukarnya mereka bersusah-payah untuk mengumpulkan harta kekayaan, tiba-tiba harta itu lesap menjadi hak orang lain dan tidak dapat dinikmatinya sesudah mati.

Cara mengubati kecenderungan hati kepada anak-anak, ialah dengan memikirkan bahwasanya Allah Ta'ala yang telah menciptakan anak-anak itu, membahagikan kepada mereka itu juga rezeki masing-masing. Kemudian hendaklah ia memikirkan juga bahwa betapa banyaknya anak yang ditinggalkan oleh ayahnya, tidak mewarisi harta apa-apa pun, namun demikian ia tetap hidup sempurna, dan lebih baik dari anak yang mewarisi harta kekayaan. Hendaklah ia mengingatkan juga, bahwa segala harta yang mungkin ditinggalkan untuk anak-anaknya itu, bertujuan untuk menjadikan anak-anak itu sempurna dan baik dalam kehidupannya. Tetapi banyak pula berlaku sebaliknya, iaitu dengan adanya harta warisan itu, menjadikan si anak menempuh segala larangan Allah dan berfoya-foya dalam kelazatan dunia yang ditegah.

Seharusnya hendaklah ia mengubati hatinya dengan berbanyak-banyak meneliti dan mengambil i'tibar terhadap berita yang warid dari zaman Nabi dan para sahabat mengenai sebab-sebab yang mencela sifat kikir dan memuji sifat dermawan. Kemudian mengingatkan pula mengenai ancaman-ancaman berupakan azab yang pedih, yang telah disediakan oleh Allah Ta'ala kepada orang-orang yang bersifat kikir itu.

Terkira sebagai ubat yang berguna juga, memperbanyakkan penelitian terhadap hal-ehwal orang-orang yang kikir. Betapa orang ramai akan menjauhkan diri daripada mereka itu. Betapa orang ramai membenci sikap kikirnya itu. Tambahan lagi orang yang kikir itu sendiri sentiasa mencaci sahabatnya yang kikir pula. Betapa ia akan menganggap buruk sikap kikir yang ada pada sahabatnya, padahal ia lupa bahwa ia sendiri pun kikir juga.

Oleh itu sayugialah hendaknya, ia mengisafi dirinya, bahwasanya sifat kikir itu buruk dan dibenci oleh orang ramai, sebagaimana halnya ia sendiri menganggap buruk dan jijik terhadap sahabat-sahabatnya yang kikir itu.

Hendaklah ia mengubati hatinya juga dengan meneliti pada pokok dan maksud harta kekayaan itu sendiri. Untuk apa ia dijadikan? Mengapa orang bersusah-payah mencarinya? Di mana ia harus dibelanjakan? Kalau semua itu telah direnunginya, tentulah ia tidak akan menyimpan lebih dari kadar keperluannya saja. Selebihnya dijadikan bekalan untuk akhiratnya, iaitu dengan membelanjakan pada perkara kebajikan, agar ia memperoleh gantinya dengan pahala di akhirat kelak.

Semua ubat-ubat yang dibicarakan di atas itu adalah diukur menurut garis makrifat dan ilmu pengetahuan. Tetapi jika kita mengetahui untuk mengukurnya dengan Nur Bashirah atau cahaya kebatinan, niscaya kita dapati, bahwa membelanjakan harta kekayaan dalam perkara-perkara kebajikan itu, adalah lebih utama dari menahan atau mengumpulkannya, samada untuk kepentingan dunia ataupun untuk kepentingan akhirat. Ketika itu semangatnya untuk berbuat kebajikan akan meluap-luap, tidak kira berapa banyak yang harus dibelanjakan. Ini sekiranya orang itu dapat menimbangnya dengan fikiran yang waras.

Demikianlah apabila dengan keinginan untuk membuat sesuatu yang baik itu timbul di dalam hati, maka hendaklah jangan lagi kita tangguh-tangguhkan, bahkan hendaklah kita teruskan keinginan itu dengan menyahut seruan hati yang pertama itu. Sebab syaitan itu akan menampakkan tipudayanya dengan menakut-nakutkan kita akan menjadi miskin, susah dan sengsara, sehingga akhirnya kita ubah cita-cita kita yang pertama tadi.

Rujukan: Ubat orang yang kikir, Mencela Kekikiran Dan Harta Kekayaan, Bimbingan Mu'minin; oleh Imam Ghazali

Monday 2 January 2012

Rindunya Nabi kepada umatnya

Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa Baginda S.A.W. amat merindui kita; umat akhir zaman.

Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.

Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.

Wajahnya tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?" Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah," kata sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan 'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.

Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada di tengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al-Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.

Rujukan: 2012 Diari Islamiah 1433-1434